Simak Inilah Zaman yang Paling Ditakuti Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam
Untuk renungan bersama mengenai keadaan akhir zaman dan petanda kiamat
(BahasaMelayu)
Orang Yang Tak Sedarkan Diri
Daripada Abu Hurairah r.a. Bahawasanya Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Jika ada seseorang berkata, ramai orang telah rosak, maka
orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka” (HR
Muslim)
Ahli Ibadat Yang Jahil Dan Ulama Yang Fasik
Daripada Anas r.a. Beliau berkata, bersabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam “Akan ada pada akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasik ” (HR Ibnu Ady)
[Orang jahil yang rajin beribadat dan ada pula orang alim yang fasik]
Menjual Agama Kerana Dunia
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Akan keluar pada akhir zaman orang-orang yang mencari
keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan
orang lain dengan pakaian yang dibuat daripada kulit kambing
(berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan
perkataan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah
hati serigala. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman kepada mereka
“Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Ataukah kamu terlalu berani
berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan
suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga
orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung” (HR Tirmizi)
Pendusta dan Pengkhianat
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan
tipuan. Pada waktu itu si pendusta dikatakan benar dan orang yang benar
dikatakan dusta. Pengkhianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang
amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berkesempatan berbicara (cuba
membetulkan) hanyalah golongan “Ruwaibidhah”. Sahabat bertanya “Apakah
Ruwaibidhah itu wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam menjawab “Orang kerdil, hina, dan tidak mengetahui bagaimana hendak mengurus orang yang ramai” (HR Ibnu Majah)
Kefasikan Berleluasa
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian
berat) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman
pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir,
atau seseorang yang masih beriman pada waktu petang, kemudian pada
keesokan harinya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya
dengan sedikit harta benda dunia” (HR Muslim)
Penindasan Terhadap Umat Islam
Daripada Tsauban r.a. Beliau berkata, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh
dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan
mengerumuni bekas hidangan mereka” Maka salah seorang sahabat bertanya
“Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam
menjawab “Bahkan kamu pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama
buih pada masa banjir, dan Allah akan mencabut rasa gentar terhadap kamu
daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam
hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya “Apakah ‘wahan’
itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Cinta dunia dan takut mati”
(HR Abu Daud)
Namanya Saja Islam
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Beliau berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
“Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam
kecuali hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran kecuali hanya
tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah.
Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit.
Daripada merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan
kembali ” (HR Al-Baihaqi)
Budaya Barat Ikutan Umat Islam Kini
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu,
sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka
masuk ke lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut mereka” Sahabat
bertanya “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?”
Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam menjawab “Siapa lagi?” (HR Muslim)
Ulama Tidak Dipedulikan
Daripada Sahl bin Saad as-Sa ‘idi r.a. Beliau berkata, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Ya Allah! Janganlah Engkau menemukan aku dan mudah-mudahan
kamu juga tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah
tidak diikuti lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan
lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam, lidah mereka seperti lidah
orang Arab” (HR Ahmad)
Ulama Agama Semakin Berkurang
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a. Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda “Bahawasanya Allah Subhanahu Wata’ala tidak akan mencabut (menghilangkan) ilmu dengan sekali gus daripada manusia. Tetapi Allah Subhanahu Wata’ala
menghilangkan ilmu agama dengan mematikan para ulama. Apabila telah
ditiadakan para ulama, orang banyak akan memilih orang-orang jahil
sebagai pemimpinnya. Apabila pemimpin yang jahil itu ditanyakan, mereka
akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang
lain” (HR Muslim)
Golongan Anti Hadis
Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. Beliau berkata, bahawasanya Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang
duduk bersandar di atas kursi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya
sebuah hadis dari hadisku maka dia berkata “Pegangan kami dan kamu
hanyalah kitab Allah sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami
halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan” (Kemudian Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam melanjutkan sabdanya) “Padahal apa yang diharamkan Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam itu samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah Subhanahu Wata’ala” (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)
Berbangga-dangga Dengan Masjid
Dari Anas bin Malik r.a. Bahawasanya Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda “Tidak terjadi hari Kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan bangunan masjid” (HR Abu Daud)
Tak Ada Imam Untuk Sholat Berjemaah
Daripada Salamah binti al-Hurr r.a. Beliau berkata, aku mendengar Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Akan datang suatu zaman, pada waktu itu orang banyak berdiri
tegak beberapa lama, kerana mereka tidak mendapatkan orang yang dapat
mengimami mereka solat” (HR Ibnu Majah)
Penyakit Umat Islam Masa Kini
Daripada Abu Hurairah r.a. Katanya, aku mendengar Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Umatku akan ditimpa penyakit -penyakit yang pernah menimpa
umat-umat terdahulu” Sahabat bertanya “Apakah penyakit-penyakit
umat-umat terdahulu itu?” Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam
menjawab “Penyakit-penyakit itu adalah, 1.Terlalu sombong, 2.Terlalu
mewah, 3.Mengumpulkan harta sebanyak mungkin, 4.Tipu menipu dalam
merebut harta benda dunia, 5.Saling memarahi, 6.Dengki-mendengki
sehingga menjadi zalim menzalimi” (HR Hakim)
Perangkap Riba
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang pun kecuali dia
terlibat dalam memakan harta riba. Kalau dia tidak memakannya secara
langsung, dia akan terkena debunya” (HR Ibnu Majah)
Manusia Tak Peduli Mengenai Sumber Pendapatannya
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, bersabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
, “Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan daripada mana
dia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram”
(Riwayat Muslim)
Banyaknya Sumber Galian
Daripada Ibnu Omar r.a. Beliau berkata “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali
dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari lombong (galian)
mereka. Maka sahabat berkata “Wahai Rasulullah! Emas ini adalah hasil
galian kita” Lalu Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam menjawab
“Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian, dan yang akan
menguruskannya adalah orang-orang yang jahat ” (HR Baihaqi)
Khamar
Daripada Abu Malik Al-Asy’ari r.a. Katanya Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Sesungguhnya akan ada sebahagian dari umatku yang meminum
khamar dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. Sambil diiringi
dengan alunan muzik dan suara biduanita. Allah Subhanahu Wata’ala akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi dan Allah Subhanahu Wata’ala akan mengubah mereka menjadi kera atau babi” (HR Ibnu Majah)
Banyaknya Perzinaan
Dari
Anas r.a. Beliau berkata “Aku akan menceritakan kepada kamu sebuah
Hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku.
Aku mendengar Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda
“Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, banyak
perzinaan, banyak kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nanti
seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan” (HR Bukhari
Muslim)
Berpakaian Tetapi Telanjang
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda ”Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka, keduanya
belum pernah aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang
mempunyai cambuk bagaikan ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang.
Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, lenggang-lenggok
sewaktu berjalan, mengayun-ayunkan bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol
(belakang unta). Kedua golongan ini tidak akan masuk syurga, malah tidak
akan dapat mencium bau harumnya. Sesungguhnya keharuman syurga itu akan
terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh (HR Muslim)
Perilaku Manusia Masa Kini
Dari Aisyah r.a. Dia berkata “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga seorang anak menjadi
sebab kemarahan (bagi ibu bapanya), hujan akan menjadi panas, akan
bertambah banyak orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik,
anak-anak menjadi berani melawan orang tua, dan orang yang jahat berani
melawan orang-orang baik” (HR Thabrani)
Anak Menjadi Tuan Kepada Ibunya
Daripada Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang), …kemudian Jibrail bertanya kepada Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam ” Maka khabarkan kepadaku tentang hari kiamat?” Lalu Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam
menjawab, “Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang
yang bertanya” Maka Jibrail berkata “Kalau begitu cuba khabarkan
kepadaku tanda-tandanya” maka Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam
menjawab “Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang
berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya
menggembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan” (Riwayat
Muslim)
Peperangan Demi Peperangan
Daripada Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga harta benda melimpah
ruah dan timbul banyak fitnah dan sering terjadi “al-Harj”. Sahabat
bertanya “Apakah al-Harj itu wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam menjawab “Peperangan, peperangan, peperangan” Beliau mengucapkannya tiga kali. (HR Ibnu Majah)
Perang Di Sekitar Sungai Furat (Iraq) Kerana Berebut Kekayaan
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Tidak terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai
Euphrates, Iraq) menjadi surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung
dari emas. Banyak orang yang terbunuh kerana merebutnya. Maka
terbunuhlah sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang
berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata “Mudah-mudahan akulah
orang yang selamat itu” Di dalam riwayat lain disebutkan “Sudah dekat
suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu kelihatan
perbendaharaan dari emas, maka siapa sahaja yang hadir di situ
janganlah dia mengambil sesuatu pun dari harta tersebut” (HR Bukhari
Muslim)
[Terdapat sebahagian pihak yang menyatakan bahawa perkataan emas di dalam Hadis ini sebenarnya petroleum ]
Waktu Terasa Pendek
Daripada Anas bin Malik r.a. Beliau berkata, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Tidak akan terjadi kiamat sehingga waktu terasa pendek, maka
setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu,
seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan
satu jam dirasakan seperti satu kilatan api” (HR Tirmizi)
Hilangnya Sifat Amanah
Daripada
Huzaifah bin Al-Yaman r.a. Katanya, …”Kemudian jadilah orang ramai
berjual beli, maka hampir sahaja tiada seorang pun yang suka menunaikan
amanah, sehingga dikatakan orang bahawasanya di kalangan Bani Fulan (di
kampung yang tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah,
sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan “Alangkah tekunnya dia
dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah cerdik otaknya.
Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya
seberat timbangan biji sawi.” (HR Bukhari & Muslim)
Islam Akan Pudar Secara Perlahan-lahan
Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. Beliau berkata, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Islam akan lenyap seperti hilangnya corak pada pakaian,
sehingga orang tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan puasa,
apakah yang dimaksudkan dengan solat, apakah yang dimaksudkan dengan
nusuk (ibadah), dan apakah yang dimaksudkan dengan sedekah. Al-Quran
akan hilang semuanya pada suatu malam sahaja, maka tidak ada yang
tertinggal di permukaan bumi ini darinya walaupun hanya satu ayat.
Sesungguhnya yang ada hanya beberapa kelompok manusia, di antaranya
orang tua, lelaki dan perempuan. Mereka hanya dapat berkata, Kami sempat
menemui nenek moyang kami mengucapkan kalimat LAILAHAILLALLAH, lalu
kami pun mengucapkannya juga” (HR Ibnu Majah)
Bilakah Akan Terjadi Kehancuran?
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata “Pada suatu hari ketika Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam
sedang berada dalam suatu majlis dan berbicara dengan orang yang hadir,
tiba-tiba datang seorang A’rabi (Arab Badwi) lalu dia bertanya kepada
Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam “Bilakah akan terjadi hari Kiamat?” Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam terus saja berbicara. Sebahagian yang hadir berkata “Beliau (Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam)
mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak
disenanginya” Sementara yang lain berkata “Sesungguhnya beliau tidak
mendengar pertanyaan itu” Sehingga apabila Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam
selesai berbicara, beliau bersabda “Di mana orang yang bertanyakan
mengenai hari Kiamat tadi?” Lalu Arab Badwi itu menyahut “Ya! Saya wahai
Rasulullah” Maka Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda
“Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari Kiamat” Arab
Badwi itu bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan
amanah itu?” Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam menjawab “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari Kiamat” (HR Bukhari)
Kebinasaan Umat Islam
Daripada Ummul Mukminin , Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam), beliau berkata,”(Pada suatu hari) Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda,
LAILAHAILLALLAH, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan
(malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah
terbuka dari dinding Yakjud dan Makjud seperti ini”, dan Baginda
menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang
dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy)
lalu bertanya “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di
kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Lalu Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Puncak Kebinasaan Seseorang
Dari Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Akan datang suatu zaman di mana orang yang beriman tidak akan
dapat menyelamatkan imannya, kecuali apabila dia lari membawanya dari
puncak bukit ke puncak bukit yang lain, dan dari suatu gua ke gua yang
lain. Maka apabila zaman itu telah tiba, segala sumber pendapatan tidak
dapat diperoleh kecuali dengan melaksanakan sesuatu yang menyebabkan
kemurkaan Allah Subhanahu Wata’ala. Apabila ini telah terjadi,
maka kebinasaan seseorang adalah disebabkan memenuhi kehendak isteri dan
anak-anaknya. Kalau dia tidak mempunyai isteri dan anak, maka
kebinasaannya disebabkan memenuhi kehendak kedua ibu bapanya. Dan
jikalau ibu bapanya sudah tidak ada lagi, maka kebinasaannya disebabkan
mengikuti kehendak keluarganya atau disebabkan mengikuti kehendak jiran
tetangganya” Sahabat bertanya “Wahai Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam, apakah maksud perkataan engkau itu?” Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam
menjawab “Mereka akan menghinanya dengan kesempitan hidupnya. Maka
ketika itu sesungguhnya dia telah menceburkan dirinya ke jurang-jurang
kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya” (HR Baihaqi)
Perselisihan yang Banyak
Daripada Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. Beliau berkata “Telah menasihati kami Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air kami
ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah ini
adalah nasihat yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan kepada kami”
Lalu baginda pun bersabda “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa
bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekali
pun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa
yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan
yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan
sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang
mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan
gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah
perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana
sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat” (Riwayat Abu Daud dan
Tirmizi)
Golongan yang Selamat
Daripada ‘Auf bin Malik r.a. Beliau berkata, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu
golongan, maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang
tujuh puluh akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah belah menjadi
tujuh puluh dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka
dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diriku
di dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh
tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh
puluh dua akan masuk neraka. Sahabat bertanya “Golongan mana yang
selamat?” Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam menjawab “Mereka adalah jemaah” (HR Ibnu Majah)
Orang Asing
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Bersabda Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
“Islam mula berkembang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali asing
pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing” (HR Muslim)
Kepayahan Orang yang Beriman
Daripada Anas r.a. Berkata Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda ”Akan datang pada manusia suatu zaman di mana orang yang
berpegang teguh di antara mereka kepada agamanya laksana orang yang
memegang bara api. (HR Tarmizi)
Kesusahan Itu Lebih Baik Daripada Kesenangan
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. Dan tidak ada
di badannya kecuali hanya selembar selendang yang bertampal dengan
kulit. Tatkala Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam melihat
kepadanya. Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan
kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan
oleh ibunya), dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada
di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang meninggalkan segala harta
benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu hari nanti, pergi pada
waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan
pakaian yang lain pula. Dan apabila diberikan satu hidangan, diletakkan
pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu
sebagaimana kamu memasang kelambu Kaabah?” Maka jawab sahabat “Wahai
Rasulullah, tentunya keadaan kami pada waktu itu lebih baik daripada
keadaan kami pada hari ini. Kami akan memberikan perhatian sepenuhnya
kepada masalah ibadat sahaja dan tidak bersusah payah lagi untuk mencari
rezeki” Lalu Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda “Tidak! Keadaan kamu hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu” (HR Tirmizi)
Golongan yang Sentiasa Menang
Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. Beliau berkata, Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam
bersabda “Sentiasa di kalangan umatku ada golongan yang sentiasa menang
(dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah pada suatu waktu yang
dikehendaki Allah Subhanahu Wata’ala. Mereka senantiasa menang. (HR Bukhari) (im)
Sumber : buletinharian.co
(nahimunkar.com)
Masya Allah, Walikota Padang Sambut Baik Rencana LIPIA Buka Kampus Cabang Di Padang
Istana Syetan pun Dibangun dengan Miliaran
Bejat, di Denmark Hubungan Seks dengan Hewan Boleh Asal Saling Menikmati
Holding BUMN, Cara Murah Taipan Menjarah BUMN
Tak Hanya Gebuk, Jokowi Juga Perintahkan Tendang PKI